28 December 2012

Realiti

"Cuba kau lihat gambar ini."
"Ada apa dengannya?"
"Kau tengok, ini gambar sebuah keluarga normal. Keluarga biasa, keluarga tipikal masyarakat kita. Aku ambil rambang sahaja dari muka buku."
"Baiklah, tiada apa yang istimewa dalam gambar ini. Apa yang kau mahu katakan?"
"Kau tengok, anak-anak mereka, semuanya tersenyum teruja di hadapan kamera."
"Jadi?"
"Kau lihat latar belakang mereka, kerusi tempat mereka duduk boleh tahan bergaya. Selera orang berada."
"Baiklah. Ini keluarga yang sempurna. Serba cukup aku kira."
"Kau tengok pula komposisi rumah mereka. Perabot mereka. Mewah."
"Ya, kau benar. Apa yang kau mahu katakan sebenarnya?"
"Kau lihat muka pasangan suami isteri itu."
"Oh, muram."
"Kau tidak hairan?"
"Pelik juga. Ini kan gambar hari raya."
"Walaupun mereka ada semuanya, tapi mereka tak mampu tersenyum. Walaupun hanya dalam gambar. Anak mereka boleh tahan ramai. Kediaman mereka mewah. Sudah tentu mereka hidup selesa.
Apa yang membuatkan mereka tidak mampu tersenyum?"
"Entah.."
"Pendapat kau?"
"Barangkali mereka bergaduh sebelum itu."
"Gambar-gambar lain juga kelat sahaja muka mereka. Takkan bergaduh sahaja tak sudah?"
"Hmm... Entah.."
"Mereka nampak seperti bahagia, ada keluarga yang serba sempurna. Apa lagi yang mereka terkurang?"
"Aku tak tahu."
"Aku percaya, mereka belum berjumpa dengan hakikat bahagia."
"Barangkali."
"Dan aku percaya, bukan satu keluarga ini sahaja yang begini. Ramai lagi di luar sana yang sebegini."
"Kasihan. Kalaulah mereka tahu erti bahagia sebenar."
"Kau tahu apa yang aku rasa?"
"Mestilah tidak kalau kau tidak beritahu aku."
"Betapa banyaknya kerja kita bila kita kembali ke tanah air nanti. Untuk menyantuni masyarakat kita. Menyantuni keperluan rohani mereka."
"Ya.."
"Tanah air kita itu basah. Basah dengan hujan. Tapi tak mampu membasahkan hati penghuninya."
"Aku rasa sudah terlalu lama aku mementingkan diri.."
"Aku juga. Kita terasing di perantauan, hingga terlupa untuk peduli dengan orang-orang terdekat kita yang berada di tanah air."
"Aku belum bersedia untuk pulang ke tanah air."
"Sediakanlah dirimu. Rasa sahaja tidak akan membuahkan apa-apa. Lakukanlah sesuatu."
"Lakukan apa?"
"Sediakan dirimu, dengan keperluan akalmu, keperluan jasadmu, keperluan ruh mu. Bina dirimu. Didik dirimu. Aku hanya boleh menunjuk jalan, namun kau yang harus membangun dirimu sendiri."
"Baiklah." 
"Berjinaklah dengan realiti. Kita hidup di zon selesa di sini. Bergaullah dengan masyarakat. Sudah terlalu lama kau menyorokkan diri dengan dunia malaikatmu."
"Pedih ayat kau."
"Kita terlalu banyak berehat. Namun perasan sendiri sudah buat banyak kerja."
"Kau menghentam aku?"
"Tidak, menghentam diri sendiri."
"Hmm.."
"Kita terlalu takut menyuarakan kebenaran. Dan berpura-pura buta bila melihat kebatilan. Demi hubungan sosial alasannya. Takut mereka terasa."
"Bukankah perubahan perlukan masa dan berperingkat?"
"Enam tahun kita bersama mereka, dan mereka masih seperti dulu. Tandanya apa?"
"Kita tak buat kerja."
"Takkanlah enam tahun bersama mereka, tiada kesan langsung yang kita calitkan pada mereka. Betulkah kita ini pati yang pekat itu? Betulkah kita benih yang dicampak di lautan, akan menjadi pulau? Betulkah kita ini nila yang membirukan susu sebelanga?"
"Kita masih cair."
"Ya, dan kita tak buat kerja."
"Salahkah kalau kita membirukan belanga yang lain?"
"Tidak salah, malah dituntut. Dakwah memang perlu tersebar luas. Tapi itu tak bermakna kau boleh berlepas diri dari belanga asalmu."
"Aku takutkan penolakan, barangkali sebab itu aku melepaskan diri. Kalau belanga lain menolak kehadiranku, sekurang-kurangnya aku tidak akan berjumpa mereka selalu."
"Kau kehilangan peluang untuk menguji kesabaranmu."
"Aku terlalu pentingkan pandangan manusia padaku."
"Hingga mereka yang mewarnaimu dengan fikrah jahiliyyah mereka. Dan fikrah Islam yang kau fahami, kau sorok dan simpan sendiri."
"Mereka terlalu kuat."
"Kau menambah kekuatan mereka apabila kau tidak menyerang balas."
"Aku lemah."
"Fikrah yang kita bawa adalah yang benar dan kuat dengan sendirinya. Tapi pembawanya yang lemah. Lalu fikrah itu kelihatan lemah dan dusta."
"Pengecutkah aku?"

"Kau hanya perlu mulakan. Berani itu akan datang selepas itu."


No comments: