27 October 2012

Sentuhan pertama

Berlari-lari anak dia bermain di atas bumi. Buat dia yang baru lagi belajar erti mempunyai sepasang kaki, berjalan dan berlari sudah tentu perkara yang dinanti-nanti apabila dilepaskan bebas di hamparan tanah. Matanya menangkap kelibat kami yang asing cara pakaiannya dari kaum keluarganya dan bangsanya sendiri. Bertatih dia berjalan ke arah kami. Sambil tersenyum manis. Mahu mendekat, tapi segan juga barangkali.

Putih menghulurkan tangannya ke arah dia, menunggu anak tempatan itu menyambut tangannya. Dia masih segan. Aku mendekati dari arah belakang, sambil terus mengusap kedua pipinya tanpa dipelawa. Terus, sentuhan pertama itu membuahkan kemesraan, Putih terus mendukungnya dan bermain dengannya seperti melayan anak buahnya sendiri. Matanya kerap melirik ke arah aku, tapi aku ini tiada kelebihan semulajadi untuk menghiburkan kanak-kanak, lalu aku biarkan sahaja dia bermain dengan Putih. Mungkin itu lebih baik? :D

Kami sudah mahu bergerak ke Badar. Ternyata anak kecil tadi mahu ikut sama. Sudah melekat hati agaknya, sampai tidak kisah siapa yang mahu diikutinya, walaupun kami ini orang asing. Pendatang pula tu di negara mereka. Lantas aku menegah, dan Milah yang mahu pulang ke rumah ke arah yang bertentangan menghantar anak tadi ke pangkuan orang tuanya.

Malam semakin dingin. Dan kami meneruskan ziarah Eidul Adha ke rumah terakhir.
.............................................................

Sentuhan pertama, barangkali disiakan. Tapi itulah yang berbekas agaknya, buat hati yang baru mengenal makna dunia.
Walau tidak kerap, walau hanya sekali usap, namun sentiasa dirindui.
Hati sentiasa terpanggil-panggil untuk menyapa sentuhan pertama, tetapi tidak berani menghurai panjang, takut-takut. Entah apa yang ditakutkannya.
.............................…….……................

Hari-hari terus berlalu, merindui pelukan cendekiawan, seorang sahaja pun tidak mengapa.

Masih tiada.

Seorang walid/ah, sheikh/ah, qaid/ah, ustaz/ah, sahabat.

Masih tiada.

Tahun-tahun terus berlalu, hanya Allah tempat kami bergantung segalanya, namun..

Masih tiada.

Pokok-pokok sudah lama kering. Namun masih berdiri di situ, kerana tahu, dia perlu untuk terus berada di situ untuk terus hidup. Dengan sisa2 air yang masih ada dan sokongan tanah itu sendiri.
Dedaunan, ada yang tumbuh baru, ada yang sudah gugur. Batang tubuh masih di situ.
Bergantung kepada selicik mana akar pokok itu, untuk mencari sumber air yang diperlukan. Berselirat akar di bawah bumi. Ada yang jumpa semula sumber air yang hilang itu, ada yang memilih untuk menyerap air dari sumber yang lain.

Jangan disalahkan akar jika ia memilih yang lain.

Kerana tarbiyah, adalah satu keperluan.

Setiap akar, sentiasa mencari air mereka untuk terus hidup.
Air yang berjaya membasahkan, itulah yang menjadi pilihan, kerana akar perlu untuk terus hidup.

Bukan air lautan mana yang terhebat yang akar perlukan.
Tapi air mana yang sentiasa membasahkan.
Bukan mengabaikan.


2 comments:

Anisah Shamilah MS said...

T.T

Hampir menangis. Sebak.
Jom cari air.

aisyahs said...

Allah~ dalamnya.

jantung terlangkau degupnya. mata tertancap di baris-baris ayat. mulut terbuka sedikit. nafas terhenti jedanya. pemikiran kabur dan pusing. tangan pantas menutup lid laptop.

'Allaahumma ihdiiha wa sabbit ha 'ala thoriiqi da'watik.'