06 January 2012

1996

Tuhan sentuh aku dengan cinta-Mu
Basuh rindu dendam hatiku
Berlari mencari diri-Mu
Terbata meraba di fatamorgana dunia


 
1996
Gadis kecil itu menaiki bas sekolah. Lagu 'Permata Buat Isteri' nyanyian Kopratasa, berkumandang di corong radio kepunyaan bas sekolah tersebut. Terlalu 'hot' agaknya sampaikan hari-hari stesen radio memainkan lagu itu.

Dia baru darjah 1, baru mula nak biasa dengan sekolah, baru nak hafal nama bas, baru nak 'mesyi' dengan laluan-laluan berbelit menuju ke kelasnya, baru nak kenal suasana sekolahnya.
Dan dia masih berdiri, di dalam bas yang sesak, dengan beg pink yang sarat dengan buku pelbagai subjek. Matahari masih mengintai peluang untuk muncul terang. Dia sambung termenung melihat bas bergerak mengutip kanak-kanak lain sepertinya.

Berfikir, apa lah akan jadi nanti bila dia sudah meningkat dewasa ke darjah 6. Darjah paling senior, paling tinggi, darjah kemuncak. Darjah paling popular, semua jawatan kelab-kelab dan persatuan, semua jawatan besar pengawas biru dan hijau, ketuanya darjah 6. Yang menaikkan bendera semasa perhimpunan, yang mengemudi majlis semasa perhimpunan, yang tertumpu segala tumpuan, yang sibuk dengan bengkel-bengkel UPSR, penuh dengan peperiksaan. Darjah terakhir untuk mengumpul markah-markah kokurikulum, olahragawan dan olahragawati biasanya dari kalangan mereka. Darjah paling berkuasa, otai-otai sekolah juga kepalanya mereka, yang kelas top 3 dari belakang. Memang darjah yang penuh drama.

'Ah, kene masuk dalam lagi'. Bas makin penuh. Terganggu lamunannya.


2001
Gadis kecil sudah mula meningkat dewasa. Entah macam mana, tiba-tiba dia teringat semula lamunannya semasa di darjah 1 dahulu. 'Aku dah darjah 6 dah pun.'
Dan dia terus menyambung kerjanya.


2006
Tahun kritikal. SPM. Sijil Penentu Masadepan, kata mereka. Tingkatan 4 yang langsung tak honeymoon kerana ada peperiksaan Sijil Menengah Agama, dan permulaan tingkatan 5 yang membimbangkan. Dan tahun itu hampir-hampir berakhir, junior-juniornya semuanya telah pulang bercuti panjang, dan tinggallah dia dan kawan-kawannya menjamu mata dengan buku-buku yang 12 macam itu.
Suasana sekolah sangat tenang, tanpa hiruk-pikuk junior yang asyik buat announcement, baik menggunakan PA system di bilik Siaraya, mahupun vokal mantap masing-masing di asrama.
Bebas untuk duduk di mana-mana kelas, di mana-mana ruang yang ada. Suasana yang terlalu kondusif, untuk menghafal, sambil menconteng papan hitam, dan bernyanyi-nyanyi riang.
Sudah hampir tamat sesi persekolahannya. Selepas ini alam lain pula yang menanti.
Dan dia teringat kembali permulaannya semasa darjah 1.


Tuhan ampun bila hamba terlena arungi sang hidup
Nenangis tercenung nafsu butakan sang mata
Berlutut memohon Engkau ampuni sang jiwa


2012
Lagi 12 hari End-Round Exam Paediatric. Sudah tahun kelima dia berada di tanah gersang yang dibasahkan oleh Nil, yang tak putus-putus mengalir. Sungai Nil yang menghanyutkan bayi kecil Musa a.s.

Kopi susu jam 11:00 malam mencegahnya dari tidur. Memang dia susah fokus selain dari waktu malam selepas 12:00 am, atau awal-awal pagi selepas subuh.Tapi hari-harinya telah tertetap rencana-rencana mesti, seperti kuliah dan lain-lain, dan bukan boleh setiap hari dia berjaga melewati jam 12:00 am.
Entah bagaimana 1996, 2001, dan 2006 kembali ke kotak memorinya. Lalu dia meramalkan pula masa hadapan. Masa depan yang betul-betul dia pasti akan berlaku, satu masa yang dijanjikan, yang pasti akan dilalui.
Dia pasti, dengan izin Tuhan, pada masa itu, bukan setakat 1996, 2001, dan 2006 yang dia akan ingat, malah setiap tahun hidupnya, pasti dipancarkan, baik yang dia suka untuk ingat, mahupun yang dia tak mahu ingat langsung kerana sesalnya.
Senyumannya terbantut. Kelat dan tawar. Lamunannya terhenti. Kalau boleh, dia tak mahu langsung apa-apa tentang hidupnya dipertontonkan, dan diperingatkan semula.


Berlari mencari terlempar tak pasti
Terbata meraba di fatamorgana dunia
Menangis tercenung nafsu butakan sang mata
Berlutut memohon Engkau ampuni sang jiwa


Termenung lagi. Dia harap dia dapat buat betul-betul dalam hidupnya di dunia sementara ini, tak mahu menyesal nanti. Moga Allah tolong. Moga Allah izinkan.

.......


Lewati sepi lewati duka
Di kehidupan yang sementara
Di dalam bising di dalam tawa
Hanya dengan-Mu aku tenang

 Aku tenang




.

1 comment:

husna barakah said...

salam. menarik..
tahun 96 mmg hot lagu tu kn
dlu masa saya pegi skolah masa darjah 1 pun asyik dengar lagu tu je