Hidayah

2:23 PM أمانينا 2 Comments

Hidayah Allah itu,
Takkan datang bergolek,
Takkan melutut menagih perhatianmu.

Hidayah itu,
Untuk orang yang mencari,
Dengan segala cita dan cinta,
Dengan segala susah dan payah,
Pada gerak kakinya melangkah,
Pada perah akalnya berfikir,
Pada tulus hatinya menunduk.

Hidayah itu,
Sekali kau merasai kehadirannya,
Sekali ia mengetuk pintu hatimu,
Jangan sekali-kali kau cuba lepaskan genggamanmu,
Jangan sekali-kali kau terfikir untuk bertangguh menerimanya,
Jangan kau teragak-agak untuk merendahkan ego dirimu.

Kerana hidayah itu,
Sekali kau lepaskan,
Sekali kau biarkan ia tergantung tak bertali,
Sekali kau malu untuk bersamanya,
Hidayah itu akan merajuk.
Katanya,
'Dia telah mensia-siakan aku,
baiklah aku pergi kepada orang yang benar-benar mahukan aku.'

Siapa suka orang main tarik tali dengan kita?
Tiada siapa yang suka.
Bosan.
Penantian yang merugikan. Membebalkan perasaan.

Dan Allah itu Maha Melimpah kasih sayangNya.
Andai satu hari nanti,
kau merintih meminta hidayah itu datang,
Meresap ke seluruh pembuluh darahmu,
Merenjat seluruh urat sarafmu,
Menggilai seluruh ruang akalmu,
Dia akan memberi kepada hambaNya yang mencari,
Kepada hambaNya yang Dia kehendaki,
Dan bergembiralah.
Dan jangan kau cuba-cuba lagi mempertaruhkan hidayah itu.


Takut-takut ia takkan datang lagi.
Dan kau yang termangu sendiri.


2 comments: